Hikmah 36 : Hati dan Akal

 

Berbeda antara orang yang mengambil dalil bersama Allah swt dengan orang yang mengambil dalil atas-Nya. Orang yang mengambil dalil bersama Allah swt itulah yang mengenal haq, meletakkan pada tempatnya, dan menetapkan terjadinya sesuatu dari asal mulanya. Mengambil dalil atas Allah swt karena tidak sampai kepada-Nya. Maka, bilakah Allah swt itu ghaib sehingga memerlukan dalil untuk menyatakan-Nya dan bilakah Allah swt itu jauh sehingga memerlukan alam untuk sampai kepada-Nya.

Nur Ilahi yang menyinari hati memperlihatkan Allah swt terlebih dahulu sebelum yang selain-Nya. Akal melihat anasir alam dan kejadian-kejadian yang berlaku terlebih dahulu sebelum sampai kepada Tuhan yang mengatur segala urusan orang-orang. Hati orang-orang melihat wujud Allah swt mewujudkan alam dan apa yang berlaku di dalamnya; dan akal orang-orang melihat wujud alam sebagai dalil kepada wujud Allah swt. Orang yang sampai kepada Allah swt melihat bahwa wujud Allah swt adalah Wujud Hakiki dan wujud Allah swt menerangi wujud makhluk sehingga makhluk menjadi nyata. Orang yang pada peringkat mencari melihat Allah swt itu ghaib dan jauh, dan jalan untuk mengenal Allah swt adalah dengan cara mengenal ciptaan-Nya. Wujud makhluk menjadi bukti kepadanya tentang wujud Allah swt, karena makhluk tidak terjadi dengan sendirinya.

Perbincangan Hikmah 8 menyentuh golongan pencari dan golongan yang dicari. Orang yang mencari menempuh jalan yang sukar-sukar sebelum bertemu dengan yang dicarinya. Contoh terbaik orang yang mencari ialah Salman al-Farisi yang mendapat julukan Pencari Kebenaran. Beliau berasal dari Isfahan. Ayahnya seorang yang terkenal kaya-raya dan berpegang kuat pada agama Majusi. Salman bertugas menjaga api dan bertenggung jawab memastikan api itu tidak padam. Suatu hari beliau menghampiri gereja Nasrani. Beliau tertarik melihat cara orang Nasrani bersembahyang. Setelah bertukar fikiran dengan mereka dan mempelajari tentang agama Nasrani, beliau berpendapat agama Nasrani lebih benar daripada agama Majusi, lalu beliau memeluk agama Nasrani. Beliau kemudian pergi ke Syria untuk mendalami agama Nasrani. Beliau tinggal dengan seorang pendeta dan menjadi pelayannya sambil belajar. Setelah pendeta itu meninggal dunia, Salman pergi ke Mosul untuk memenuhi kehendak wasiat pendeta tersebut. Di sana beliau tinggal dan berkhidmat kepada seorang pendeta juga. Apabila hampir ajalnya pendeta kedua ini mewasiatkan kepada Salman supaya pergi ke Nasibin dan berkhidmat kepada seorang salih yang tinggal di sana. Salman kemudian berpindah ke Nasibin. Pendeta di Nasibin kemudian mewasiatkan kepada Salman agar pergi ke Amuria dan berkhidmat kepada seorang salih di sana. Salman berpindah ke Amuria. Ketika pendeta di Amuria itu hampir menemui ajalnya, beliau memberi amanat kepada Salman bahwa sudah hampir masanya kebangkitan seorang nabi yang mengikuti agama Ibrahim as secara murni. Nabi yang baru muncul itu akan berhijrah ke satu tempat yang banyak ditumbuhi pohon kurma dan terletak di antara dua bidang tanah berbatu-batu hitam. Tanda-tanda  yang jelas tentang kenabiannya ialah dia tidak mau makan sedekah, tetapi menerima hadiah. Di bahunya ada cap kenabian yang bila dilihatnya segera akan dikenali kenabiannya. Setelah pendeta yang memberi amanat itu meninggal dunia berangkatlah Salman mengikuti rombongan Arab dengan menyerahkan kepada mereka lembu-lembu dan kambing-kambingnya. Sampai di Wadi Qura, Salman dianiaya dan dijual kepada orang Yahudi. Kemudian Salman dijual kepada orang Yahudi yang lain. Tuannya yang baru itu membawanya keYatsrib. Ketika melihat negeri itu, Salman meyakini bahwa itulah negeri yang diceritakan oleh pendeta yang dulu menjaganya. Ketika Rasulullah saw berhijrah ke Yatsrib, Salman datang menemui baginda Rasulullah saw di Quba dan memberikan makanan sebagai sedekah kepada baginda saw dan sahabatnya. Rasulullah saw menyuruh mereka makan, tetapi baginda saw tidak menjamah makanan tersebut. Keesokan harinya, Salman datang lagi membawa makanan sebagai hadiah. Rasulullah saw makan bersama-sama sahabatnya. Semasa Rasulullah saw berada di Baqi’, Salman pergi lagi menemui Baginda saw. Rasulullah saw ketika itu memakai dua helai kain lebar, satu sebagai sarung dan satu lagi sebagai baju. Salman menjengkuk dan mengintai untuk melihat belakang Baginda saw. Rasulullah saw mengerti akan maksud Salman lalu baginda saw mengikat kain burdah dari leher Baginda saw sehingga kelihatanlah cap kenabian yang dicari Salman. Melihatnya Salman terus menangis dan menciumnya. Akhirnya beliau temui kebenaran yang telah beliau cari di berbagai tempat.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: